Isnin, 25 Mac 2013

Datu Paduka Mat Salleh













Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Mat Salleh pernah mengisytiharkan daerah Tambunan atau dalam bahasa Mat Salleh 'Negeri Tambunan' sebagai daerah di bawah kekuasaannya. Mat Salleh berasal daripada suku Suluk Paitan. Ayahnya, Datu Balu berkahwin di Inanam dengan suku Bajau. Hasil daripada perkahwinan mereka itu lahirlah empat orang adik-beradik iaitu Ali, Mat Salleh, Badin dan Bolong. Datu Mat Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjaan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894. Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kubu Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896 hingga 1897. 

Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897. Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni Hindia Timur Inggeris di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni Hindia Timur Inggeris di Ambong. Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh termasuk Jones yang mengetuai serangan tersebut. Pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan yang lebih besar. Mat Salleh berjaya mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.

Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh. Kejatuhan kota ini pada tahun 1900 akibat serangan hebat Kompeni Hindia Timur Inggeris dan berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Malah peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.

Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya pada 31 Januari 1900. Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.

Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (http://sejarahmalaysia.pnm.my)



Pedang Datu Paduka Mat Salleh


Rabu, 20 Mac 2013

TRANSFORMASI POLITIK



Sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 2009, saya sangat jelas dengan wawasan Malaysia sebagai sebuah negara moden, progresif dan sentiasa memandang ke hadapan dalam menganalkan demokrasi yang melindungi hak serta kebebasan rakyat. 

Untuk itu, saya telah melaksanakan beberapa pakej transformasi politik paling bersejarah sejak Malaysia mencapai kemerdekaan: Ordinan Darurat telah berakhir, undang-undang era penjajah iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan tahanan tampa bicara dimansuhkan, lesen kawalan penerbitan akbar telah dihapuskan, larangan kepada pelajar menyertai parti politik telah ditarik balik dan saya juga berjanji untuk mengkaji semula Akta Hasutan. Selain itu, saya turut memperkenalkan Program Trasformasi Kerajaan yang bertujuan untuk memastikan perkhidmatan awam menjadi lebih baik dan reponsif kepada kehendak rakyat selain  mengelakkan rasuah.

Ini merupakan transformasi paling bersejarah yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. Ia sekali gus mampu menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi di dunia serta sebagai sebuah negara Asia yang sedang meningkat naik menjadi salah satu daripada kuasa besar di rantau ini kerana kestabilan politik dan perkembangan ekonominya.   



ISA (Akta Keselamatan Dalam Negari/ Akta Kesalahan Keselamatan)

Akta Kediaman Terhad

Akta Buang Negari

Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan

Akta Polis/ Akta Perhimpunan Aman

Akta Universiti Dan Kolej Universiti

Akta Hasutan


klik dibawah...

http://www.1malaysia.com.my/my/my-record/political-transformation/

Dasar Transformasi Negara Berjaya



March 29th, 2013 by Najib Razak

Sejak mula dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2009, saya bertekad untuk meneruskan perjuangan pemimpin-pemimpin sebelum ini yang sentiasa komited untuk memastikan Malaysia terus cemerlang hari demi hari. Sebab itulah, saya telah perkenalkan gagasan 1Malaysia yang mengamalkan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Untuk memastikan setiap apa yang dilakukan oleh Kerajaan membuahkan hasil dan dapat memberi manfaat kepada rakyat, saya telah perkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Kedua-dua program ini diperkenalkan pada 2010 serta 2011 dan ia diwujudkan bersama-sama Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Sosial yang membentuk Dasar Transformasi Nasional. Kesemua insiatif tersebut diperkenalkan bertujuan bagi memastikan negara mencapai matlamat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.


Alhamdulillah, dalam laporan tahunan GTP dan ETP yang saya bentangkan semalam, banyak kejayaan yang telah kita kecapi. Kejayaan demi kejayaan itu adalah hasil kerja keras semua pihak, daripada rakyat sehinggalah kepada pihak swasta dan penjawat awam. Kesannya, taraf dan kualiti hidup rakyat menjadi semakin baik, ekonomi negara menjadi semakin berkembang manakala kewangan negara terus kukuh hari demi hari.

Perancangan dan perlaksanaan GTP dan ETP ini bukan sahaja membuktikan iltizam Kerajaan untuk membangunkan negara, tetapi juga merupakan satu eksperimen paling berani Kerajaan dalam mengamalkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban terhadap rakyat. Melalui GTP dan ETP ini rakyat boleh menilai prestasi Kerajaan menerusi laporan tahunan dan berkala yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Kecemerlangan prestasi negara ini boleh disaksikan daripada peningkatan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita negara yang meningkat kepada AS$9,970 pada 2012 berbanding hanya AS$257 sahaja pada 1957. Ini adalah peningkatan sebanyak 4,000 peratus dalam tempoh lima dekad ini. Ia boleh diperjelaskan lagi apabila Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) negara untuk tahun 2012 meningkat kepada RM5,000 daripada hanya RM4,025 pada 2009.


Saya juga gembira kerana kadar kemiskinan negara berada pada kadar hanya 1.7 peratus pada 2012 berbanding 60 peratus di awal tempoh kemerdekaan sebelum ini. Kadar inflasi negara juga kekal berada pada paras 1.2 peratus iaitu yang terendah di rantau ini.

Selain itu, saya sangat berbangga apabila insiatif yang diperkenalkan Kerajaan berjaya mengeluarkan kira-kira 100,000 orang rakyat daripada belenggu kemiskinan. Sebanyak 100,000 unit rumah mampu milik juga didirikan agar setiap rakyat berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri. Kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM3.78 bilion untuk membiayai subsidi untuk mengurangkan beban perbelanjaan harian rakyat.


Ini membuktikan setiap apa yang diperkenalkan Kerajaan memberi manfaat kepada rakyat di negara ini. Ia sekali gus selari dengan konsep 1Malaysia yang mahu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Sebab itulah, semasa perbentangan semalam, saya turut mengumumkan yang Kerajaan akan menjadikan dan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai inisiatif tahunan kepada rakyat.

Kesemua kejayaan itu adalah hasil daripada inisiatif Kerajaan yang bertungkus lumus memastikan setiap daripada tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berjaya dilaksanakan. Tujuh NKRA berkenaan adalah Menangani Kos Sara Hidup Rakyat, Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah, Mempertingkatkan Infrastruktur Luar Bandar, Mempertingkatkan Pencapaian Pelajar, Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar, Merujuk Inisiatif Membanteras Rasuah dan Mengurangkan Kadar Jenayah. Kesemua NKRA ini, Alhamdulillah berjaya dilaksanakan dengan baik sekali gus memberi manfaat berpanjangan kepada semua rakyat.

Dengan kecemerlangan prestasi negara itu, saya berharap rakyat dapat terus bersama-sama memberi sokongan kepada Kerajaan agar setiap apa yang dirancangkan untuk masa depan negara dapat dilaksanakan. Marilah kita bina masa depan yang gemilang untuk semua, marilah kita bina masa depan yang menjanjikan pulangan adil kepada yang bekerja keras, yang berkreativiti tinggi, yang berinovasi, dan yang sanggup mengambil risiko.Marilah kita bina sebuah Malaysia yang menjanjikan sebuah taman kebahagiaan untuk semua.

Admin: Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai Laporan Tahunan GTP & ETP sila layari laman web Pemandu atau baca teks ucapan penuh YAB Perdana Menteri di sini. 
Tags: ETP, GTP